Selain Ketua Polis Negara, video viral melibatkan pemandu Peugeot Putih bertindak ala samseng jalanan terhadap seorang warga emas yang melanggar belakang keretanya tanpa sengaja pada hari ini telah menarik perhatian syarikat telekomunikasi, Digi Telecommunications untuk ‘masuk campur’.
Menerusi satu status dimuat naik di Facebook, Digi menawarkan untuk membayar kos baik pulih kereta lelaki warga emas tersebut kerana telah menunjukkan sifat penyabar dan empati ketika menangani situasi tengah hari semalam.
Pada masa sama, Digi turut memberi tawaran sama kepada pemandu CDM25 kerana memahami keadaan sukar yang telah dilaluinya namun dia perlulah memaafkan Uncle tersebut terlebih dahulu.
Mungkin bagi Digi, tawaran ini dianggap selaras dengan bulan Ramadan sekarang di mana umat Islam dianjurkan berbuat baik dan prinsip ini digambarkan dengan hastag #30HariBaik.-Mynewshub.my
Saya Sudah Maafkan Dia
Warga emas yang menjadi mangsa seorang wanita bertindak ganas ketika kemalangan di parkir Pusat Transformasi Bandar (UTC) pada Isnin lalu tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya malah bersedia memaafkan wanita itu.
Pesara kerajaan, Sim Siak Hong, 68, berkata, dia hanya membuat laporan polis berhubung kemalangan itu namun enggan melaporkan kejadian wanita itu bertindak ganas terhadapnya walaupun diminta pihak berkuasa untuk berbuat demikian.
“Saya menganggap dia bertindak demikian mungkin didorong perasaan marah kerana saya melanggar keretanya.
“Walaupun trauma dengan kejadian itu saya tetap memaafkannya dan berjanji tidak akan melaporkan tindakan kekerasannya kepada polis malah dia juga sudah memohon maaf kepada saya,” katanya ketika ditemui di sini, sebentar tadi.