Uncle Sim Tak Mau Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap Wanita


Uncle Sim Tak Mau Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap WanitaKUALA LUMPUR: Ketika seluruh masyarakat termasuk pemimpin atasan polis mahu supaya tindakan undang-undang dikenakan terhadap wanita yang bertindak membulinya dalam kejadian di parkir kenderaan bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan, Isnin lalu.

Namun lelaki warga tua menjadi mangsa bertindak sebaliknya dengan berjanji tidak akan mengambil tindakan undang-undang.

Pesara kerajaan, Sim Siak Heong, 68, memutuskan untuk tidak membuat laporan berhubung kejadian itu sebaliknya memaafkan 'pembulinya' dan sudah berjanji untuk tidak mengambil sebarang tindakan susulan.

Walaupun dia dan isterinya masih trauma dengan kejadian itu, keputusannya untuk tidak mengambil tindakan itu adalah berdasarkan kepada ajaran agamanya yang meminta seseorang itu tidak berbalas dendam serta menyusahkan orang lain.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas memberi keterangan di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Pahang.

Menceritakan semula kejadian itu, Siak Heong yang memandu kenderaan jenis Toyota Corolla, berkata dia dalam perjalanan pulang selepas berurusan di syarikat insurans berhampiran dan mengambil isterinya di bangunan UTC.

Katanya, ketika itu jalan sesak dan tidak sedar melanggar kenderaan lain sebelum secara tiba-tiba wanita itu terus memarahi termasuk mencaci dengan perkataan kesat.

Kejadian Siak Heong dibuli oleh seorang wanita dirakam oleh orang awam yang berada di tempat kejadian dan video berdurasi 2.33 minit yang dimuat naik di laman sosial seperti FB, Twitter dan juga Youtube menjadi ‘viral’ dan ‘trending’.

Sementara itu, usaha untuk menghubungi wanita berusia 30 tahun yang terbabit dalam kejadian itu gagal apabila panggilan ke telefon bimbitnya tidak berjawab.

Difahamkan, wanita yang mencetuskan kemarahan orang ramai itu akan memberikan keterangannya di IPD Kuantan hari ini kerana berada di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh, ketika dihubungi berkata polis sudah membuka kertas siasatan berhubung kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana merosakkan harta benda dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah selepas laporan dibuat.

Katanya, pada mulanya kes itu hanya membabitkan kesalahan trafik tetapi disiasat atas aspek lain selepas video kejadian membuli itu tersebar di laman sosial.