Tragedi MH17 Bukan Insiden Tapi Satu Kes Pembunuhan


Tragedi MH17 Bukan Insiden Tapi Satu Kes Pembunuhan - SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang didapati bertanggungjawab ke atas tragedi yang menimpa pesawat MH17.

“Kami mengutuk perbuatan ini yang disifatkan sebagai salah satu keganasan dan menggesa pihak berkuasa antarabangsa untuk menjalankan siasatan penuh serta bebas bagi membawa mereka yang melakukan pembunuhan beramai-ramai ini ke muka keadilan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pesawat MH17 tersebut yang membawa 298 penumpang termasuk anak kapal dikatakan telah ditembak dengan menggunakan peluru berpandu jenis Buk anti-aircraft system.

MH17 yang berlepas dari Amsterdam malam tadi (waktu tempatan) dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 6.10 pagi ini.

Anwar menerusi kenyataannya turut melahirkan rasa sedih yang teramat turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga penumpang dan anak kapal MH17.

“Kami berasa terkejut dan sedih dengan berita yang diterima. Kami mengucapkan takziah buat keluarga penumpang MH17 yang telah kehilangan orang yang tersayang. Mari kita besama-sama tabah mengharungi tragedi yang menimpa ini,” katanya lagi.