PAS Kelantan Ambil Tindakan Terhadap Penyebar Berita Palsu


PAS Kelantan kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan berita melalui jaringan sosial media dan pesanan ringkas kononnya bekas Menteri Besar negeri itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia kerana komplikasi jantung.

Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata perkhabaran seperti itu sepatutnya disemak dengan ahli keluarga Nik Abdul Aziz.

"Tok guru ada keluarga jadi kena tanya keluarga dia dan berita tentangnya sudah sekian lama dilaporkan secara pantas, tiba-tiba datang sumber yang tidak berasas terus dipercayai, ini tidak betul," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, Islam melarang keras penyebaran hal peribadi seseorang yang belum ada kepastian dan ia termasuk dalam perkara fitnah yang boleh membawa dosa.

Tambahnya, kecanggihan teknologi hari ini serta "semangat suka berlumba-lumba dalam melaporkan sesuatu kadang-kadang menjadi musibah dalam masyarakat".

Ahmad turut meminta orang ramai mendoakan agar Nik Abdul Aziz "sentiasa sihat dan dapat memberi idea membangunkan ummah sepanjang waktu."

Khabar angin 'kematian' Nik Abdul Aziz itu tersebar sejak awal pagi tadi. Ia kemudian reda selepas anak beliau, Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menafikannya melalui Twitter.