Biodata Oscar Dos Santos Pemain Brazil

Sebuah buku mengenai pemain Brazil dan Chelsea, Oscar bakal diterbitkan menjelang Piala Dunia yang akan diadakan di negaranya tidak lama lagi. Ini adalah sebahagian daripada petikan kisah hidupnya.

“Saya membesar di kawasan pinggir bandar Sao Paulo yang dipanggil Americana. Kehidupannya berbeza berbanding di tengah bandar.

“Saya belajar bermain bola sepak ketika kecil menerusi percubaan demi percubaan, bermain di jalanan setiap hari.


“Tiada taktik yang anda perlukan. Siapa saja yang boleh menggelecek bola dan menjaringkan gol sudah memadai dan itulah yang saya pelajari.

“Saya bermain futsal sehinggalah bergelar pemain profesional pada usia 16 tahun.

“Saya rasa bola sepak Brazil sampai ke tahap ini disebabkan futsal. Padangnya lebih kecil. Golnya lebih kecil. Anda perlu lebih pantas dalam apa saja yang dilakukan, khususnya membuat keputusan pantas.

“Jika anda menggelecek bola, anda perlu melakukannya dengan mengawal bola di kawasan sempit. Jika anda merembat, anda perlu lebih tepat kerana gol atau sasaran lebih kecil.

“Ramai dalam kalangan pemain Brazil seperti saya belajar sendiri. Kali pertama saya berlatih di bawah kendalian jurulatih bukannya menerusi kelab tetapi sebuah ‘escolinha’, sebuah sekolah bola sepak yang dikendalikan pihak bandaran supaya anda tidak perlu membayarnya.

“Sebaik saya menyertai kelab pertama, Sao Paulo, saya sudah pun mempunyai gaya permainan tersendiri.

“Di Sao Paulo, mereka katakan saya akan menjadi Kaka yang baru. Saya sepatutnya lakukan apa yang dilakukan Kaka terhadap kelab itu. Saya mahu katakan: ‘Tidak, saya adalah diri sendiri’.

“Saya bermain di London bersama kelab Chelsea selama dua tahun. Seperti ramai pemain dari Brazil, Piala Dunia di laman sendiri pasti­nya jauh lebih istimewa.

“Saya tahu bagaimana rasanya bermain di depan penyokong Brazil. Penting untuk mengetahui tanggungjawab kita dan mengambilnya secara serius sebagai pemain, tetapi jangan biarkan tekanan itu mengganggu kami.

“Sebaik wisel untuk sepak mula berbunyi, kami perlu pastikan kami juga turut berseronok.

“Kami perlu percayakan diri dan tidak membiarkan tahap kejohanan itu menghalang kami bermain seperti yang kami inginkan. Kami sedar, kami mempunyai 200 juta penyokong Brazil yang bersorak untuk kami.

“Sesuatu yang istimewa, Brazil menang Piala Dunia di tempat lain dan bukannya di laman sendiri disebabkan perlawanan yang digelar Maracanazo, kekalahan di final pada 1950 kepada Uruguay.

“Saya sedar betapa besar impaknya terhadap rakyat Brazil. Ia membuat tahun ini jauh lebih penting.

“Kenangan menonton bola sepak yang paling saya ingati adalah perlawanan Brazil di Piala Dunia 1998. Saya masih ingat kami mara ke final dan tewas kepada Perancis. Kami menonton bersama keluarga dan rakan dan kerana saya masih muda, saya duduk di depan skrin dan menangis pada akhir perlawanan. Saya rasa, sama seperti orang lain di seluruh negara ini.

“Pasukan Brazil paling popular adalah pada 1970. Ramai pemain hebat seperti Pele, Jairzinho, Rivelino dan Tostao tetapi mereka juga amat erat. Lihat saja pada gol keempat di final ketika menentang Itali (dianggap sebagai jaringan terbaik).

“Dari hujung padang ke hujung padang, saling melakukan hantaran dan akhirnya bek kanan, Carlos Alberto menjaringkan gol. Itulah gol yang menunjukkan hubungan istimewa antara mereka.

“Kami sedar, kami juga boleh sebagus generasi lalu jika boleh menang seperti mereka, dari Pele ke Ronaldinho dan Ronaldo. Brazil dikenali sebagai negara karnival. Ke mana saja anda pergi sewaktu Piala Dunia, di mana saja ada ruang dan skrin besar menayangkan perlawanan, ia pasti dipenuhi orang ramai.

“Semakin anda membesar, anda mengimpikan bermain di kelab hebat atau mungkin di Eropah, tetapi impian pertama dan yang pastinya kekal dalam ingatan adalah bermain untuk Brazil.”




Biodata Oscar Dos Santos

Nama penuh: Oscar dos Santos Emboaba Junior
Tarikh lahir: 9 September 1991 (22 tahun)
Asal: Americana, Sao Paulo, Brazil
Tinggi: 180sm
Posisi: Tengah menyerang
Pasukan kebangsaan: Brazil

Kelab:
- Sao Paulo (2008-2010)
- Internacional (2010-2012)
- Chelsea (2012- kini)