Harga Tiket Masuk Konsert Shah Rukh Khan Di Malaysia Bermula RM99 hingga RM1,999

Berita baik buat peminat bintang terkemuka Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan bakal menghiburkan peminat di pentas Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Oktober depan menerusi konsertnya "Temptations Reloaded".

Konsert "Temptations Reloaded" ini bukan sahaja menampilkan persembahan daripada bintang popular itu malah penonton akan mendapat kepuasan dengan penggunaan lampu berteknologi 'diod pemancar cahaya' (LED). Tambahan pula, persembahan lagu-lagu akan diiringi dengan grafik.

Apa yang lebih mengujakan, pihak penganjur konsert tersebut, Hitman Solutions Sdn Bhd dan 2SPICY Entertainment Sdn Bhd turut menjangka aktres Madhuri Dixit dan rapper Honey Singh akan hadir bagi memeriahkan konsert tersebut.

Bintang berusia 47 tahun itu akan menghiburkan peminat selama tiga jam yang akan dipenuhi dengan muzik, tarian dan juga gimik.

Tiket akan mula dijual pada minggu hadapan di The Gardens, Mid Valley atau mana –mana kaunter kedai Rock Corner dengan harga bermula RM99 hingga RM1,999.

Selain itu, anda boleh melayari www.vip.my untuk mendapatkan tiket secara online dan maklumat lanjut mengenai konsert ini.