Tips Untuk Menjaga Agar Rambut Sihat Bersinar

Rambut adalah mahkota bagi setiap wanita. Rambut yang cantik, sihat dan berkilau, pastinya menjadi idaman setiap gadis sehingga ramai antara mereka sanggup berbelanja lebih demi mendapatkan rawatan rambut yang terbaik.

Akan tetapi tahukah anda, untuk mendapatkan rambut yang sihat dan cantik menawan bukan sekadar mengikuti rawatan di salun secara konsisten, malah penjagaan kesihatan diri serta pengambilan makanan harian juga amat perlu dititik beratkan.

Secara umumnya, sumber vitamin dan mineral seperti vitamin A, B, C, dan zat besi amat baik untuk rambut, ini kerana vitamin A difahamkan mampu menjaga kesihatan kulit rambut, mankala vitamin B dan C pula berfungsi sebagai medium untuk melancarkan peredaran darah serta pertumbuhan rambut. Selain itu makanan yang mengandungi zat besi turut dilihat mampu membekalkan oksigen yang secukupnya untuk rambut agar ia sentiasa kelihatan cantik bersinar sepanjang masa.

Dalam pada itu, menurut pakar rambut terkenal, Dr Bessam Farjo, amalan membasuh rambut menggunakan air mineral turut dikatakan mampu meningkatkan kesihatan rambut, ini kerana kandungan mineral yang terkandung di dalamnya mampu menggembalikan keserian rambut serta mampu menghindari rambut kusam dan tidak bermaya.

Selain melakukan amalan membasuh rambut dengan air mineral, para gadis turut dinasihatkan agar elak menggunakan air panas saat mencuci atau membilas rambut. Amalan seperti ini dikhuatiri akan mengundang kekusaman pada rambut serta membuatkan ia kurang bersinar seperti biasa.

Amalan penggunaan alat pengering rambut terlalu kerap turut difahamkan mampu mengundang kekusaman rambut, oleh itu anda boleh merawatnya dengan mengikuti amalan mengusap rambut dengan empat gelas air suam yang dicampurkan dengan perahan lemon berserta dengan satu sudu teh madu.

Setelah itu, aplikasikan urutan ringan pada kulit kepala dan biarkan ia kering secara semulajadi sebelum membersihkan bahagian rambut berkenaan. Amalan berterusan pastinya akan membuatkan rambut anda kekal cantik dan bersinar sepanjang hari.

Nampaknya untuk mendapatkan rambut yang sihat tanpa sebarang masalah bukanlah suatu perkara yang mudah. Bagi mendapatkan rambut yang sihat, cantik dan berseri, setiap gadis haruslah rajin membelai mahkotanya itu dan mesti bijak memilih produk-produk yang bersesuian.

Kadangkala produk yang terlalu banyak mengandungi bahan kimia juga tidak elok untuk kesihatan kulit kepala serta struktur rambut. Oleh itu, atasi rambut rosak dan kusam lebih awal serta dapatkan rawatan lanjut untuk setiap rambut bermasalah. SUMBER