Shafee Ketua Rayuan Kes Liwat Anwar

SHAFEE
PUTRAJAYA – Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang lebih dikenali sebagai peguam berprofil tinggi dilantik mengetuai barisan pendakwaan di Mahkamah Rayuan dalam rayuan terhadap kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Muhammad Shafee akan mengemudi pihak pendakwaan selaku perayu dalam kes itu bersama-sama Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria dan Noorin Badaruddin.
Terdahulu, Muhammad Shafee memaklumkan kepada panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Ramly Ali, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh bahawa pelantikan beliau secara kontrak itu dibuat berdasarkan Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah.
Seksyen itu memperuntukkan kuasa kepada Peguam Negara di Jabatan Peguam Negara melantik pendakwa raya bagi mengendalikan sesuatu kes mahkamah.
Muhammad Shafee sejurus selepas prosiding itu berkata, surat pelantikan tersebut telah ditandatangani pada 2 Julai lalu oleh Peguam Negara dan diterimanya pada 11 Julai tanpa sebarang alasan dikemukakan.