PERLAWANAN menentang Malaysia (Harimau Malaya) adalah sebahagian aplikasi untuk latihan kami.”
Sama ada berniat mahu menyindir atau sebaliknya, itu reaksi pengurus Chelsea, Jose Mourinho (gambar kecil) pada sidang akhbar sejurus kejayaan The Blues menbenam Harimau Malaya 4-1 pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam malam kelmarin.
Beraksi di hadapan lebih 40,000 penyokong tempatan, anak-anak buah Mourinho jelas berada dalam kelas tersendiri ketika menundukkan cabaran skuad kendalian Datuk K. Rajagobal.
Juara Liga Europa itu mudah mencetak tiga gol menerusi jaringan Bertrand Traore, Kevin De Bruyne dan Romelu Lukaku dalam tempoh 45 minit pertama perlawanan.
Pada babak kedua, Chelsea dilihat lebih santai dan mengendurkan asakan ke kubu Harimau Malaya, namun masih mampu memperoleh gol keempat jaringan Victor Moses.
Mujur jaringan tonggak pertahanan, Mohd. Fadhli Shas pada masa kecederaan menutup malu Harimau Malaya daripada pulang dengan ‘tangan kosong’.
Mengulas lanjut, Mourinho yang cukup terkenal dengan sikap terbukanya, mengakui berpuas hati dengan persembahan barisan pemainnya.
“Sudah tentu saya gembira kerana perlawanan ini adalah sebahagian proses daripada latihan kami.
“Kami berlatih setiap hari dan ia dapat dijalankan dengan baik oleh anak-anak buah saya ketika menewaskan Thailand (Singha All Star) dan Malaysia (Harimau Malaya).
“Disebabkan kami melakukan sesi latihan tertutup, ramai pihak tidak dapat menjangka atau meramalkan corak permainan kami ketika beraksi di atas padang tetapi saya melihat perkara itu di sebaliknya.
“Apa yang penting barisan pemain Chelsea tidak berdepan masalah dengan aplikasi latihan ini,” kata Mourinho pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan kelmarin.
Begitupun, bekas jurulatih Real Madrid dan Inter Milan itu tetap memuji kesungguhan yang ditunjukkan Harimau Malaya pada aksi tersebut.
“Mereka (Harimau Malaya) merupakan satu pasukan yang bagus. Pada babak pertama, kami tidak bermasalah untuk menguasai bola.
“Namun, mereka berjaya memberikan tekanan kepada kami dengan melakukan beberapa serangan balas yang bagus dan kreatif pada babak kedua,” ujarnya.