Moyes Sahkan United Buat Tawaran Kedua

MOYES (kanan) menyampaikan amanah kepada pemain-pemain United pada sesi latihan di Stadium Nissan, Yokohama dekat Tokyo, Jepun semalam.

LONDON - Pengurus Manchester United, David Moyes mengesahkan bahawa juara Liga Perdana England itu membuat tawaran kedua bagi mendapatkan pemain tengah Barcelona dan Sepanyol, Cesc Fabregas.
Laporan itu hadir seminggu selepas skuad The Red Devils mengemukakan tawaran pertama ke atas bekas pemain Arsenal berusia 26 tahun itu.
"Seperti yang saya faham Ed Woodward (Naib Pengerusi Eksekutif) telah memberi sambutan (untuk tawaran pertama).
"Kami akan memberikan tawaran kedua tetapi Ed yang akan bertanggungjawab dengan urusan itu," kata Moyes pada Jelajah Asia dan Australia di Yokohama, Jepun semalam.
Woodward kembali ke tanah air minggu lalu bagi menguruskan penghijrahan segera Wayne Rooney yang dikaitkan ke Chelsea.
Moyes berkata, beliau berharap perkembangan yang berlaku di Barcelona dapat memikat Fabregas untuk menyertai United.
Pengurus dari Scotland itu memberitahu pemberita bahawa beliau berharap 'berita baik' akan dilaporkan dalam tempoh terdekat seperti mana usahanya untuk membeli pemain pertahanan Benfica, Ezequiel Garay.
Beliau turut memberikan bayangan bahawa urusan untuk mendapatkan Fabregas bukan satu-satunya perjanjian yang perlu diselesaikan sebelum musim perpindahan tertutup.
"Kami cuba membawa sebanyak mungkin pemain ke sini (Old Trafford), kami sedang berusaha keras untuk melaksanakannya.
"Kami akan cuba yang terbaik untuk menambah pemain berkualiti dalam skuad dan saya harap akan ada berita gembira nanti.
"Begitupun, saya mungkin akan mendapat sedikit maklumat mengenainya (potensi penghijrahan Fabregas) dalam tempoh terdekat ini," tambah Moyes. - Agensi