Lawatan Rasmi PM Perancis Di Malaysia 29 Julai 2013

SEPANG 29 Julai - Perdana Menteri Perancis Jean-Marc Ayrault tiba di Malaysia untuk lawatan rasmi dua hari bermula hari ini. Ketibaan beliau di di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 5.45 petang disambut Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ir Hamim Samuri serta Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainudin. Ayrault diiringi isterinya, Brigitte Ayrault serta Menteri Perdagangan Luar Nicole Bricq, 

Menteri Delegasi yang bertanggungjawab bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana, Inovasi serta Ekonomi Digital Fleur Pellerin, Timbalan Menteri Luar Helene Conway-Mouret, anggota Parlimen Perancis serta delegasi ahli perniagaan. Kali terakhir Perdana Menteri Perancis mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia ialah Pierre Mauroy pada 1982. 

Kunjungan ini merupakan sebahagian daripada lawatan serantau tiga negara Ayrault, termasuk New Caledonia dan Korea Selatan, bagi mempertingkat serta memperluas kerjasama dalam bidang baharu dan sedia ada. Esok, Ayrault dijadual bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diikuti mesyuarat delegasi bagi membincangkan hubungan dua hala serta perkara yang membabitkan kepentingan bersama. Sebelum itu, satu majlis rasmi meraikan ketibaan Ayrault akan diadakan di Dataran Perdana, Putrajaya diikuti majlis makan malam di Seri Perdana. 

 Lawatan Ayrault ke Malaysia merupakan penegasan komitmen kerajaan Perancis di bawah pentadbiran Presiden Francois Hollande bagi memperkukuh hubungan politik kedua-dua negara. Ayrault dijadual melawat Sendayan Techvalley yang terletak di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan di mana beliau akan merasmikan upacara pecah tanah bagi melancarkan projek pelaburan Perancis bernilai RM399.6 juta. 

Beliau juga dijangka berucap pada Forum Ekonomi Malaysia-Perancis anjuran kedutaan negara itu di sini dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Perancis.