Surat Nikah Awie Dan Rozana Tidak Berdaftar

Surat nikah tidak berdaftar

Pihak keluarga Rozana kini dikatakan menghadapi kesukaran dalam mendapatkan salinan sijil nikah Rozana Misbun dan Ahmad Azhar Othman (Awie) yang dipercayai dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Songkhla (MAIS) bertarikh 20 Jun 2005.

Segala usaha yang dilakukan akhirnya menemui jalan buntu berikutan MAIS yang dikatakan tidak mempunyai sistem pengkomputeran itu membayangkan kesukaran untuk mengesan sijil berkenaan.

Lebih memburukkan lagi keadaan, menurut sumber yang layak dipercayai, banyak dokumen yang hilang apabila mereka berpindah ke pejabat sekarang beberapa tahun lalu. Justeru keluarga Rozana memohon campur tangan pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Malaysia selain Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan bagi membolehkan surat nikah asli dapat diperolehi dan dikenal pasti kesahihannya.

Ini adalah kerana, tanpa surat nikah yang dikeluarkan oleh MAIS serta pengesahan dari Konsulat Malaysia di Songkhla, Thailand, pernikahan tersebut tidak dapat didaftarkan di Malaysia dan ini mengakibatkan peguam yang dilantik bagi mewakili Rozana tidak dapat berbuat apa-apa.

Buat masa sekarang, hasrat bagi memohon Interim Custody (hak penjagaan sementara) terhadap Putra Ahmad Merrah, Putra Ahmad Rezzki dan Putri Qasseh Antasha terbantut di tengah jalan.

Manakala dalam konteks pendaftaran bagi Sijil Kelahiran bagi ketiga-tiga anak mereka pula, keluarga beliau turut meminta jasa baik Jabatan Pandaftaran Negara dalam menangani permasalahan baru yang berbangkit dimana Nombor Daftar Kahwin yang digunapakai di dalam Sijil Kelahiran anak-anak itu terbukti dari sindiket palsu.

Larangan berjumpa anak

Awie dikatakan telah menghantar satu surat arahan kepada Adni Islamic International School, Taman Melawati dan Smart Reader, Ukay Perdana pada 21 Jun 2014 yang melarang Rozana dari berhubung samada menerusi telefon atau berjumpa dengan anak-anak mereka di sekolah-sekolah terbabit.

Bagaimana mungkin pihak sekolah membenarkan perkara ini berlaku? Mengikut undang-undang kekeluargaan, surat larangan untuk berjumpa ibu atau bapa hanya sah diperakui dengan adanya perintah makhamah.

Ibubapa yang berdepan dengan masalah rumahtangga tidak wajar menjadikan anak-anak sebagai mangsa yang pastinya memberi impak negatif kepada emosi serta psikologi mereka.

Lebih-lebih lagi Putra Ahmad Merrah, Putra Ahmad Rezzki dan Putri Qasseh Antasha masih kecil dan amat memerlukan kasih sayang serta perhatian dari seorang ibu.

Memisahkan anak-anak yang tidak berdosa ini dari ibu yang mengandung, melahir dan membesarkan mereka dari sebesar telapak tangan, sesungguhnya satu perbuatan yang tidak berperikemanusiaan.

Jabatan Kebajikan Masyarakat yang sebelum ini telah bekerjasama dengan PDRM dalam meluluskan Interim Protection Order (perlindungan sementara) terhadap Rozana, diharap dapat juga berbuat demikian sekali lagi bagi memastikan keselamatan serta kebajikan ketiga-tiga beradik itu terpelihara.