Iklan Raya 2014
Semangat berhari raya dahulu cukup berbeza dengan berhari raya zaman sekarang, lagi-lagi di kota. Generasi Y dan Z lebih pentingkan duit raya dan tengok wayang pada pagi raya. Pakai baju melayu lengkap, tetapi beratur depan panggung beli tiket wayang. Lepas tu ambil gambar selfie dan update di media sosial.
Semoga dengan menonton iklan Petronas ini, dapat menunjukkan dan menyedarkan mereka betapa semangat berhari raya yang sudah hilang.
Siapa biasa duduk kampung tahu, nak makan ayam? Kena tangkap sendiri ayam. Aktiviti ini seronok, lagi-lagi jika ada kanak-kanak yang turut serta. Lagi pun ayam kampung lagi sedap dan sihat. Kalau hari-hari beli ayam di pasar, tetapi untuk hari raya yang istimewa, ayam kampung yang menjadi pilihan untuk lauk pagi raya.
Keluarga dan sanak saudara bergotong royong menganyam ketupat dan menyediakan lemang. Kalau raya takde ketupat dan lemang, rasa macam bukan beraya di Malaysia. Tak mainlah ketupat dan lemang segera. Itu semua nasi impit sebenarnya. Lainlah kalau beraya di perantauan, luar negeri.
Beli lemang tepi jalan pun bukan lemang yang betul. Biasa pulut tu dah masak dahulu, lepas tu penjual masukkan dalam buluh dan nyalakan api, buat unjuk-tunjuk masak. Dekat kampung kita bakar lemang waktu malam raya macam ni. Baru best! Bau lemang tu pun dah menusuk jiwa. Makan kosong pun sedap!
Selain masak rendang ayam atau daging lembu, penduduk kampung juga masak dodol dan wajik. Tak lengkap pagi raya kalau tak makan dodol rasanya.
Kanak-kanak pula bermain bunga api setelah masuk hari tujuh leko. Pelita dinyalakan keliling rumah. Biasanya ada orang dewasa yang tengok-tengokkan. Bukan dibiarkan budak bawah umur main bunga api. Nanti budak--budak tu bukan main bunga api, tetapi curi-curi main mercun pula. Mercun bukan sahaja haram, tetapi main mercun bola atau mercun buatan sendiri boleh menyebabkan anak hilang jari atau cacat tangan dan buta kekal, muka jadi macam si bongkok, cacat seumur hidup.
Pada malam raya, waktu si ibu sedang kelam kabut dengan persiapan raya, mesti ada anak-anak yang gi curi-curi pakai baju raya. Mana yang pakai baju melayu habis berlubang kena percikan bunga api. Esok pagi solat raya dengan baju berlubang-lubang di lengan. Yang perempuan dah siap pakai kasut raya masa tidur waktu malam. Tak sabar nak beraya.
Bila waktu pagi, sebelum ke masjid atau setelah pulang dari masjid, anak-anak bermaaf-maafan dengan ibu bapa. Minta semua dosa kesalahan dalam tahun lepas dimaafkan.Yang muda minta maaf dengan yang tua. Yang adik dengan abang dan kaka. Yang isteri dengan suami. Lepas tu baru boleh makan juadah raya dan kuih raya.
Bila semua keluarga dah berkumpul, ia adalah saat yang paling sesuai untuk bergambar kenangan. Entah bila pula dapat berjumpa. Zaman sekarang dengan media sosial, setiap hari dapat berhubung. Jadi mungkin kurang dah nak bergambar kenangan berramai-ramai. Ramai lagi gemar ambil gambar raya selfie, sorang-sorang. Best ke?
Mesej yang cuba disampaikan oleh iklan raya Petronas ini jelas. Jika kita semaikan nilai-nilai murni ini kepada anak-anak kita, adat dan adab ketimuran itu akan kekal. Jangan sampai generasi akan datang sudah lupa adat resam kita. Bila hilang adat, apa lagi yang tinggal untuk kita.
Rasa sudah cukup dengan celoteh saya ini, anda boleh saksikan sendiri iklan raya Petronas 2014 di bawah.