Populariti Gabenor Jakarta Sebagai Calon Presiden Semakin Meningkat

Gabenor Jakarta, Joko Widodo atau lebih mesra dikenali sebagai Jokowi terus mengukuhkan namanya sebagai calon pilihan utama untuk Pilihan Raya Umum Presiden 2014, menurut kaji selidik terbaharu oleh akhbar nasional Indonesia, Kompas.

Kaji selidik dalam kalangan pembaca akhbar itu pada bulan Jun lalu mendapati, populariti Jokowi meningkat hampir sekali ganda kepada 32.5 peratus berbanding 17.7 peratus pada Disember tahun lalu.

Pada ketika ini, landskap politik Indonesia sedang rancak membicarakan mengenai tokoh-tokoh yang berhasrat untuk menduduki kerusi nombor satu di negara ini, menggantikan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang tamat dua penggal pentadbirannya tahun depan.

Selain Jokowi yang mewakili Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), tokoh-tokoh lain yang turut mendapat tumpuan ialah pemimpin Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra), Probowo Subianto dan Ketua Umum Parti Golongan Karya (Golkar), Aburizal Bakrie.

Tidak ketinggalan, Ketua Umum PDI-P yang juga bekas Presiden Indonesia, Megawati Sukarnoputeri serta bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla dari Parti Golkar.

Berada di kedudukan kedua dalam senarai kaji selidik ialah Prabowo yang memperoleh 15.1 peratus kedudukan popularitinya, diikuti Aburizal (8.8 peratus), Megawati (8 peratus) dan Jusuf (4.5 peratus).

Akhbar Kompas edisi hari ini turut melaporkan, peningkatan populariti Jokowi itu menjadi petanda keinginan rakyat Indonesia untuk melihat kehadiran generasi kepimpinan politik nasional yang baharu pada pilihan raya umum Presiden itu.

Kaji selidik itu melibatkan 1,400 responden terdiri daripada bakal pengundi pada Pilihan Raya Umum 2014, yang dipilih secara rawak dari 33 wilayah di seluruh Indonesia.

Keputusan kaji selidik mendapati, rakyat daripada pelbagai lapisan demografi, sosial, ekonomi serta latar belakang politik, semakin banyak menyokong Jokowi, manakala peratus penolakan oleh responden terhadap beliau semakin mengecil dengan kurang dari lima peratus. - UTUSAN